APA ERTI PEMBERIAN PERMIT TEKSI KEPADA RAKYAT...?
Saya selaku YDP Gabungan Teksi Malaysia dan Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat kerana telah mempermudahkan urusan rakyat khususnya pemandu Teksi untuk mendapatkan permit teksi berstatus pemilikan individu dan seterusnya membolehkan mereka memiliki kenderaan Teksi mereka sendiri.
Ia adalah satu tindakan yang terpuji, namun disebalik keindahan program pemilikan permit teksi tersebut, menjadi tanda tanya kepada saya sejauh manakah ketulusan dan keikhlasan Kerajaan melancarkan program tersebut bagi membebaskan pemandu Teksi daripada sistem penjajahan moden..?
Umum sedia maklum, selain daripada ketiadaan sebarang usaha Kerajaan menyelesaikan isu kesukaran pemandu Teksi mendapatkan pinjaman pembiayaan kenderaan daripada Bank mahupun mana-mana agensi kewangan, masalah utama yang dihadapi oleh pemandu Teksi ketika ini ialah Peraturan berat sebelah diantara Teksi dan E-hailing dan seharusnya Kerajaan menyelesaikan itu terlebih dahulu.
Saya tidak faham kenapa Kerajaan hari ini khususnya Kementerian Pengangkutan masih enggan dan tidak mahu membetulkan kerosakkan yang telah diwujudkan oleh pemerintah-pemerintah terdahalu.
Pemerintah-pemerintah terdahalu menerusi Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat - SPAD bukan sahaja tidak pernah menyelesaikan masalah-masalah di dalam industri teksi Negara, malah mereka dengan sengaja telah mewujudkan perbezaan Undang-Undang diantara Teksi dan E-hailing, wahal kedua-kedua perkhidmatan tersebut menjalankan satu aktiviti yang sama, iaitu mengambil penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi dengan mengenakan sesuatu kadar upah.
Aktiviti tersebut ialah satu aktiviti yang dikenali sebagai komersial, namun pemerintah-pemerintah terdahalu bertindak melindungi kepentingan syarikat-syarikat kapatilis dengan mewujudkan Dwi Peraturan diantara Teksi dan E-hailing, Teksi diketogerikan sebagai komersial dan kenderaan E-hailing diketogerikan separa komersial.
Tindakan tersebut jelas membuktikan bahawa pemerintah-pemerintah terdahalu melindungi kepentingan syarikat-syarikat kapatilis, mereka sedar perkhidmatan E-hailing diketogerikan sebagai komersial, sudah pastilah peraturan tersebut akan menyebabkan orang ramai (pemandu E-hailing) yang selama ini mencabul Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta 715 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menghentikan penglibatan mereka dan seterusnya akan menyebabkan syarikat-syarikat E-hailing kerugian.
Oleh itu, demi melindungi kepentingan syarikat-syarikat kapatilis yang mungkin terdapat unsul rasuah, pemerintah-pemerintah terdahalu bukan sahaja bersubahat merestui pencabulan Akta oleh syarikat-syarikat kapatilis tersebut, bahkan mereka langsung tidak memperdulikan nasib rakyat khususnya nasib pemandu Teksi.
Malah tuntutan yang dibuat oleh Persatuan dan pemandu teksi di seluruh Negara termasuk di Sabah dan Sarawak di manipulasikan dengan mendakwa Persatuan dan Pemandu Teksi tidak mahu berubah dan menolak kemajuan teknologi, walhal hakikatnya, pemandu Teksi adalah golongan pertama yang menggunakan Ehailing sebelum MyTeksi mengkianati pemandu Teksi dan seterusnya menukar nama kepada Grab.
Sikap lepas tangan Kementerian Pengangkutan berhubung isu kadar tambang dan Komisyen diantara Teksi dan E-hailing juga memberi impak yang sangat negatif kepada pemandu Teksi, sebagai contoh kadar Komisyen.
Kadar komisyen yang diperolehi syarikat Ehailing bagi perkhidmatan Teksi ialah 10%, manakala bagi kenderaan E-hailing pula ialah 20%, kesudahannya perbezaan keuntungan tersebut menyebabkan pihak syarikat lebih berminat menyalurkan hampir semua tempahan penumpang kepada kenderaan E-hailing, kerana ia lebih menguntungkan berbanding Teksi.
Bagi saya, selagi isu ketidaksamarataan diantara Teksi dan E-hailing tidak diselesaikan secara tulus dan tuntas, selagi itu lah apa sahaja pelan pembangunan untuk industri Teksi tidak akan berjaya, malah tidak mustahil sekali lagi pemandu Teksi akan dimanipulasikan dan dituduh tidak berminat mendapatkan permit individu setelah pelan pemilikan permit diwujudkan oleh Kerajaan.
Saya berpendapat, sekiranya Kerajaan benar-benar mempunyai hati yang tulus dan ikhlas terhadap rakyat, Kerajaan harus menyelesaikan isu ketidaksamarataan diantara Teksi dan E-hailing, dan masa yang sama Kerajaan harus memikul tanggungjawab mewujudkan Aplikasi E-Hailing yang dimiliki oleh Kerajaan menerusi GLC.
Dengan adanya aplikasi Ehailing milik Kerajaan, segala wang yang terhasil daripada transaksi tempahan penumpang yang selama ini berbilion Ringgit dirompak dan dicuri keluar Negara dapat digunakan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan Teksi serta menjaga kebajikan pemandu.
Sebenarnya perkara ini telah berpuluh-puluh kali saya saran dan cadangkan kepada Kerajaan khususnya kepada Kementerian Pengangkutan, namun malangnya sehingga ke hari ini saya tidak nampak Kerajaan berminat untuk menyelesaikan masalah tersebut dan masih meneruskan kerosakkan dan kebobrokan yang diwujudkan oleh pemerintah-pemerintah terdahalu.
Saya tidak faham, kenapa Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan masih mahu membiarkan rakyat (pemandu) terus dijadikan mangsa kepada syarikat-syarikat kapatilis.
Saya berharap dengan terbitan catatan ini, Kerajaan khususnya YAB Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob akan memberi perhatian, dan seterusnya bersedia mengadakan sesi perbincangan dengan pihak kami bagi mendengar sendiri pencerahan dan rancangan yang kami ada.
Mudah-mudahan segala masalah yang melanda industri Teksi Negara dapat diselesaikan dan kami akan kembali menyokong Kerajaan. InsyaAllah
Sekian, terima kasih