GTSM BERTEMU YAB PERDANA DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
Kami dari GABUNGAN TEKSI, KERETA SEWA, LIMOSIN DAN TEKSI LAPANGAN TERBANG SE'MALAYSIA - GTSM memanjat syukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan Malaysia seorang Perdana Menteri yang mempunyai begitu cakna dan prihatian terhadap masalah rakyat khususnya masalah pemandu teksi.
Selama ini sejak 2010 saya secara peribadi telah berpuluh-puluh kali dan mungkin cecah ratusan kali surat telah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan perhatian Perdana Menteri pada masa itu untuk melihat kebajikan pemandu teksi yang diabaikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Kementerian Pengangkutan.
Namun malangnya tidak ada seorang pun mana-mana Perdana Menteri pernah memberi perhatian terhadap masalah pemandu teksi apatah lagi membuka pintu untuk berjumpa dengan saya mahupun GTSM.
Keadaan tersebut jelas berbeza di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri DATO' SERI ANWAR IBRAHIM.
Dato' Seri Anwar Ibrahim satu-satunya Perdana Menteri yang sudi meluangkan masa yang sangat berharga menerima kunjungan hormat kami dan mendengar sendiri masalah-masalah yang selama ini hadapi oleh pemandu teksi.
Di antara cadangan yang kami kemukakan kepada YAB Perdana Menteri:-
1. Pelan Penjenamaan Teksi Negara.
2. Aplikasi e-Hailing milik kerajaan (GLC).
3. Masalah ketidaksamarataan teksi dan e-Hailing.
4. Penubuhan Majlis Pengangkutan Darat Negara – MPN
5. Rancangan Transformasi Teksi Langkawi
Apa yang membuatkan kami terharu, YAB Perdana Menteri begitu memberi perhatian kepada setiap cadangan yang kami kemukakan dan salah satu cadangan kami mengembalikan Permit Import bagi membolehkan kami membawa masuk kenderaan import terpakai sebagai kenderaan teksi disambut baik oleh YAB Perdana Menteri.
Permit import akan membolehkan kami membawa masuk kenderaan-kenderaan import terpakai seperti Toyota Vios, Camry, Altis, Honda Accord dan lain-lain sebagai kenderaan teksi sebelum pendapatan pemandu kami kembali pulih dan seterusnya beralih kepada penggunaan Electric Vehicle (EV) pada suatu masa nanti.
Sebelum ini, kami memang telah diberi Permit Import oleh pemerintah terawal, namun Permit Import tersebut telah dirampas dan diberikan kepada puak-puak berkempentingan dan kami dipaksa menjadi alat pelaris kenderaan Nasional dengan kualiti yang sangat tidak baik pada masa itu.
Pembangunan aplikasi e-Hailing di bawah kendalian GLC bakal memberi banyak manfaat kepada negara, rakyat dan pemandu.
Berbilion Ringgit wang yang terhasil daripada setiap transaksi penggunaan aplikasi e-hailing yang selama ini dirompak keluar negara tanpa memberi sebarang manfaat kepada negara, boleh dimanfaatman semula seperti:-
1. Mewujudkan Akedemi Pemandu bagi meningkatkan tahap kesedaran, kemahiran dan pengetahuan pemandu perkhidmatan awam dan pengangkutan darat negara (Teksi, Lori, Bas, e-hailing, p-Hailing).
2. Menyediakan skim pembiayaan mudah dan rendah interest kepada pemandu teksi yang ingin menukar kenderaan baharu.
3. Mewujudkan skim Insusran Kenderaan perdagangan yang lebih komprehensif dan tidak membebankan bagi meringankan bebanan pemain industri.
4. Mewujudkan skim perlindungan keselamatan berkelompok kepada seluruh pemandu perkhidmatan dan pengangkutan negara.
5. Memberi biasiwa kepada anak-anak pemandu perkhidmatan dan pengangkutan yang cemerlang melanjutkan pengajian diperingkat lebih tinggi dan sebagainya.
Sebenarnya terdapat banyak lagi faedah-faedah yang boleh dimanfaatkan daripada Berbilion Ringgit wang industri kepada rakyat, negara dan pemandu.
Tetapi malangnya sejak 2013 wang Berbilion-bilion Ringgit dari industri telah dirompak tanpa memberi sebarang manfaat kepada negara, rakyat, pemandu mahupun industri melainkan hanya merosakkan ecosistem industri, menzalimi ratusan ribu pemandu dan mencabuli Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Penyelesaian isu ketidaksamaratan diantara perkhidmatan kami dan e-hailing juga mampu mewujudkan suasana persaingan yang lebih adil dan harmoni disamping menyelesaikan isu pembuangan harga oleh syarikat-syarikat e-hailing yang kini bersaing sesama mereka untuk merebutkan penumpang sehingga memangsakan pemandu e-hailing dan turut memberi kesan kepada kami kerana penumpang lebih cenderung mendapatkan kadar tambang yang murah.
Penubuhan Majlis Pengangkutan Darat Negara (MPN) yang diwakili oleh wakil-wakil persatuan teksi, lori, bas, e-hailing dan p-hailing, ia bertujuan membantu kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dalam membuat atau melakukan pindaan kepada Akta dan peraturan sedia ada, selama ini kegagalan pihak Kementerian mengadakan libat urus yang tulus dengan pihak persatuan telah menyebabkan hingga ke hari ini tidak ada satu pun undang-undang mahupun peraturan yang mereka buat memajukan industri melainkan hanya menyusahkan dan menzalimi kami semua.
Jadi dengan adanya Majlis Pengangkutan Darat Negara ini, pihak Kementerian tidak lagi boleh membuat undang-undang atau peraturan sesuka hati mereka, sebaliknya sesuatu cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak kami dahulu, agar ia tidak lagi menganiaya dan menzalimi pemandu kami.
Kami yakin, kecaknaan dan keprihatinan YAB Perdana Menteri mampu mengubah senario industri dan nasib kami dan seterusnya mengakhiri kesengsasaraan yang selama ini kami hadapi tanpa pembelaan oleh mana-mana mantan Perdana Menteri sebelum ini.
Sekian terima kasih
"BERSAMA MEMBANGUNKAN MALAYSIA MADANI"
“KE ARAH MEMARTABATKAN INDUSTRI TEKSI NEGARA”
KAMARUDIN BIN MOHD HUSSAIN
YDP Gabungan Teksi Malaysia
23/11/2023