HAPUSKAN KETIRISAN WANG RAKYAT DI DALAM INDUSTRI TEKSI NEGARA.


Assalamualaikum & Salam Malaysia MADANI

Sejak 2018, saya telah mencadangkan kepada kerajaan supaya membangunkan aplikasi ehailing dibawah GLC bagi menyelesaikan masalah yang melanda industri teksi, seperti penafian hak pemandu teksi/kereta sewa mencari rezeki di dalam industri sendiri oleh syarikat Ehailing dan penindasan syarikat kapatilis (ehailing) terhadap pemandu Ehailing dan Teksi. 

Namun malangnya sehingga ke hari ini tidak ada satu pun wakil kerajaan yang menzahirkan kesediaan mengadakan sesi perbicaraan dan mempertimbangkan cadangan yang saya kemukakan. 

Sebelum ini, alasan diberikan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan kononnya Grab mengalami kerugian, tetapi dalam masa yang sama kita yang diperbodohkan dapat melihat bagaimana pemilik syarikat tersebut memiliki kekayaan luar biasa sehingga mereka boleh menyenaraikan syarikat mereka di Bursa Saham Amerika Syarikat (AS), sedangkan rakyat kita (pemandu-pemandu) dipaksa hidup dalam kemiskinan. Inilah sebahagian dari sistem PENJAJAHAN MODEN

Terbaru, Grab mencatat keuntungan AS$567 Juta bersamaan 2.6 Bilion Ringgit Malaysia hanya untuk suku kedua tahun 2023.
Kami sebagai rakyat Malaysia tidak pernah merasa iri hati atau cemburu kepada mana-mana individu atau syarikat yang berjaya di dalam perniagaan mereka, tetapi apa yang ingin saya gariskan disini, sebahagian daripada keuntungan yang mereka diperolehi adalah hasil daripada jerit perit, tangis lara rakyat Malaysia (pemandu) yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu Islam. 

Ramai yang merasakan Grab itu memberi peluang kepada penumpang untuk mendapatkan tambang murah, tetapi dalam masa yang sama tanpa kita sedari kita telah mengisap darah rakyat kita sendiri dan mengayakan kapitalis. 

Selama ini isu tambang teksi tidak pernah menjadi sesuatu yang membebankan rakyat, apatah lagi dipertikaikan kerana kenaikkan kadar tambang yang dinaikkan oleh kerajaan melalui kajian yang menyeluruh dan mengambil kira kos sara hidup pada tahun-tahun berkenaan. 

Namun malangnya apabila Kerajaan gagal memahami industri dan perubahan teknologi, kerajaan pada masa itu telah merestui pencabulan Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta 715 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, lalu isu kadar tambang murah pun dimainkan sehingga menafikan hak dan membunuh pemandu teksi yang terikat dengan undang-undang kerajaan. 

Saya masih ingat lagi bagaimana orang-orang dalam kerajaan memburukkan imej teksi dan mengagungkan pencabulan kedua-dua Akta tersebut sehingga menyebabkan kemusnahan yang begitu parah dalam industri teksi negara. 

Ramai anak-anak pemandu teksi hidup dalam kemiskinan, rumahtangga berpecah belah, gejala sosial meningkat dan sebagainya. 

Hari ini kita lihat pemandu-pemandu Ehailing dan raider Phailing pula memberontak menuntut kadar tambang dan upah penghantaran dinaikkan kerana mereka tidak lagi boleh bertahan dengan kadar upah yang murah dan kadar komisyen yang tinggi. 

Syarikat terus kaut keuntungan, yang menjadi mangsa adalah rakyat kita khusus orang Melayu yang beragama Islam. 

Sehubungan dengan itu, di atas nilai MADANI saya ingin merayu dan menyeru kepada kerajaan khususnya kepada YAB Perdana Menteri Dato' Anwar Ibrahim supaya mempertimbangkan cadangan yang saya kemukakan ini dengan membangunkan aplikasi Ehailing milik kerajaan dibawah GLC. 


Saya berpendapat daripada kerajaan membazir wang rakyat berjuta-juta Ringgit untuk menubuhkan satu lagi Suruhanjaya, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan membangunan aplikasi Ehailing milik kerajaan. 

Kerana tindakan tersebut bukan sahaja dapat memberi banyak manfaat kepada rakyat khusus pemain industri, sebaliknya secara tidak langsung dapat mengurangkan pertindihan kuasa. 



Gunakan Akta 715 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 pindaan 2023 sedia ada untuk kawal selia Ehailing dan Phailing. Terima kasih diucapkan kepada Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke yang telah berusaha membawa dan mendapatkan kelulusan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 di dalam Parlimen. 
Jika Ehailing itu milik kerajaan, saya yakin pada bila-bila masa sahaja kerajaan boleh menentukan kadar tambang dan komisyen yang berpatutan. Ia bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah penindasan yang sedang berlaku, malah secara tidak langsung berupaya memberi keadilan kepada semua pihak (penumpang dan pemandu). 

Selain itu, wang yang terhasil dari setiap transaksi tempahan di simpan di dalam kantung negara dan wang tersebut boleh digunapakai untuk menaik taraf industri serta memberi manfaat kepada pemain industri daripada membiarkan wang industri dirompak keluar negara tanpa memberi sebarang manfaat kepada negara mahupun kepada pemain industri. 

Wang rakyat kembalikan kepada rakyat. 

Sekian, terima kasih

"BERSAMA MEMBANGUNKAN MALAYSIA MADANI"

KAMARUDIN HUSSAIN
YDP Gabungan Teksi Malaysia
24/08/2023

Popular posts from this blog

TEKSI THAILAND LEBIH BAIK DARI TEKSI MALAYSIA

PESANAN KEPADA PEMANDU TEKSI MALAYSIA

GTSM RAKAM UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA MENTERI PENGANGKUTAN YB ANTHONY LOKE