SESI LIBAT URUS MENGEJUT BAJET 2024 BERSAMA MOT
Assalammualaikum & Salam Malaysia MADANI
Sesi libat urus ini telah diadakan pada 15/08/2023 (Selasa) di Hotel Sama-Sama KLIA.
Kami hanya menerima email jemputan kurang dari 24 jam, dan kami terpaksa meninggalkan segala tugas yang kami ada bagi menghadiri sesi tersebut.
Secara jujurnya kami tidak faham tujuan sebenar sesi libat urus tersebut di adakan, kerana ia adalah sesi libat urus yang pertama kali di adakan.
Walau bagaimanapun kami merakamkan ucapan terima kasih di atas jemputan tersebut.
Cuma kami agak terkilan kerana masa yang diberikan kepada kami hanya 1 jam untuk mengemukakan cadangan atau saranan untuk dimasukkan ke dalam permohonan Bajet 2024.
Diantara permohonan kami:-
1. INSENTIF RM300 BAHAN BAKAR SETIAP BULAN
Teksi bukan sahaja satu wadah rakyat untuk mencari pendapatan, sebaliknya teksi cermin kepada sesebuah negara, selain daripada itu teksi turut menyumbang kepada keberhasilan negara melalui fungsi-fungsinya.
Teksi adalah adalah aset negara.
Insentif bahan bakar bulan ini dipohon untuk 40,000 pemandu teksi/kereta sewa di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
Permohonan ini dibuat berikutan kenaikan kos operasi khususnya bahan bakar yang meningkat sekurang-kurangnya RM20 setiap hari, RM600 setiap bulan dan setahun RM7320, ekoran pengurangan stesen NGV dan keterpaksaan pemandu teksi menggunakan petrol.
Selain itu, faktor ketirisan pendapatan pemandu teksi/kereta sewa sekitar 70-80% akibat daripada persaingan tidak adil diantara Teksi dan Ehailing.
Insentif ini dipohon untuk tempoh 2 tahun dan dalam masa yang sama kami merayu kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar tambang dan dilaksanakan pada tahun seterusnya.
Kali terakhir kenaikan kadar tambang adalah pada tahun 2015.
2. INSENTIF 80% CARUMAN PERKESO
a. Kami memohon kerajaan memberi dan meneruskan perlaksanaan insentif 80% kepada semua pemandu teksi dan ehailing.
b. Kami mohon insentif 80% tergunapakai kepada semua pelan yang ditawarkan oleh PERKESO dan tidak hanya tertakluk kepada pelan 2.
Insentif ini bukan sahaja akan memberi perlindungan social kepada pemandu teksi dan ehailing, secara tidak langsung program ini mampu memberi kesedaran kepada pemandu untuk mencarum di PERKESO.
3. i-SARAAN
a. Kami mohon kadar Insentif i-Saraan ketika ini RM300 setahun dinaikkan kepada RM500 setahun.
b. Kami juga memohon kepada kerajaan supaya mempertimbangkan memberi insentif i-Saraan ini kepada 170,000 pemandu teksi, kereta sewa dan ehailing di seluruh negara termasuk di Sabah & Sarawak.
4. RE-SKILING & UPSKILLING
a. Kami memohon kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan program Re-skilling dan Upskilling kepada 170,000 pemandu Teksi dan ehailing bagi menaik taraf pengetahuan, kemahiran sebagainya.
5. INSENTIF MENAIK TARAF KENDERAAN TEKSI SEDIA.
a. Memohon dana khas bagi menyeragamkan semula warna teksi sedia ada kepada satu 1 warna dan mengecat semula teksi yang lusuh.
b. Membantu pemandu teksi yang tidak mempunyai kemampuan kewangan menyelenggara semula teksi mereka yang kurang elok agar lebih memuaskan dan selesa, sebelum program penjenamaan teksi diterima dan bermula.
6. PENJENAMAAN TEKSI, MALAYSIA MADANI YELLOW CAB
Ini adalah satu rancangan jangka panjang yang dirangka oleh GTSM bagi menaiktaraf mutu perkhidmatan teksi negara dan sekaligus bakal memberi keselesaan kepada penumpang dan imej yang baik kepada negara.
Umum menyedari perkhidmatan teksi di negara ini agak ketinggalan zaman dan tidak mempunyai daya saing jika dibandingkan dengan perkhidmatan teksi di negara-negara jiran apatah lagi dengan negara-negara maju.
Untuk melakukan perubahan dengan mewajibkan penggunaan kenderaan baharu, kami yakin ia tidak akan mampu dilaksanakan dan berjaya, kerana ketika ini pemandu teksi menghadapi masalah ketirisan pendapatan yang begitu meruncingkan di atas keengganan kerajaan mewujudkan persekitaran persaingan yang adil diantara teksi dan ehailing, selain daripada itu imej teksi yang telah diburukkan oleh pelbagai pihak.
Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan kerajaan mempertimbangkan permohonan kami melakukan penjenamaan teksi dengan menggunakan kenderaan-kenderaan import terpakai seperti Toyota Vios, Altis, Camry, Honda Accord, dan sebagainya.
Selain daripada harga yang amat-amat berpatutan, daya ketahanan kenderaan-kenderaan ini jauh lebih baik, malah tahap keselesaan kepada penumpang juga jauh lebih berkualiti, selain itu alat ganti kenderaan-kenderaan ini mudah diperolehi.
Di dalam proposal penjenamaan industri teksi, kami telah mencatatkan kerangka-kerangan pelaksanaan bagi membolehkan program penjenamaan teksi ini dilaksanakan dengan jayanya, cuma kami mengharapkan kerajaan membuka pintu rundingan dan mempertimbangkan proposal kami secara tulus.
7. PENYELARASAN TEMPAT DUDUK TEKSI INNOVA.
a. Penyelarasan jumlah tempat duduk penumpang bagi kenderaan teksi Toyota Innova dari 5 orang penumpang kepada 6 orang penumpang mengikut spesifikasi tempat duduk asal di dalam kenderaan tersebut.
8. PERMOHONAN MENGEMBALIKAN SEMULA PERKHIDMATAN TEKSI EKSEKUTIF.
a. Kami merayu kepada MOT supaya perkhidmatan Teksi Eksekutif dikembalikan.
*Perkara 7 & 8, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada TUAN WAN ASRAF (MOT) yang pantas menzahirkan kesediaan beliau untuk mengadakan sesi perbincangan dilain hari.

Walaupun sesi libat urus ini diadakan secara mengejut dan masa yang terhad, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana memberi peluang kepada kami untuk bersama-sama menyumbang cadangan, saranan dan permohonan.
Kami yakin ini adalah titik permulaan yang sangat baik yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini, hanya di bawah kerajaan perpaduan dan YB Anthony Loke sahaja. Terima kasih semua.
"KE ARAH MEMARTABATKAN INDUSTRI TEKSI NEGARA"
"BERSAMA MEMBANGUNKAN MALAYSIA MADANI"
Sekian, terima kasih
KAMARUDIN HUSSAIN
YDP. Gabungan Teksi Malaysia