SESI PERBINCANGAN BERSAMA MR. OMS THIAGARAJAN, PENGERUSI YAYASAN OMS
Assalamualaikum & Salam Malaysia MADANI
Hari ini (13/08/2023 Rabu) kami bersama Gabungan e-Hailing Malaysia - GEM telah menghadiri sesi perbincangan bersama Mr Oms Thiagarajan, Pengerusi Yayasan OMs di Jalan Ipoh Kuala Lumpur berhubung industri pengangkutan awam darat negara khusus Teksi & e-Hailing.
Sebenarnya perjumpaan tersebut melibatkan sektor Bas dan Lori, namun malangnya kedua-dua wakil dari sektor berkenaan tidak dapat hadir kerana perubahan masa.
Sesi perjumpaan tersebut membincangkan beberapa perkara seperti berikut:-
1. Isu berkaitan ketidaksamarataan kadar tambang dan komisyen diantara Teksi & e-Hailing yang menyebabkan pemandu teksi kehilangan sumber pendapatan dan pemandu e-Hailing pula terpaksa memandu lebih 14 jam sehari kerana syarikat-syarikat e-Hailing bersaing sesama mereka dengan membuang harga tambang yang akhirnya pemandu dan ahli keluarga mereka yang menjadi mangsa.
2. Kekesalan terhadap Kementerian Pengangkutan khususnya Menteri Pengangkutan YB Tuan Loke Siew Fook yang langsung tidak mahu menyantuni pengiat industri pengangkutan darat negara (Teksi, e-Hailing, p-Hailing, Lori & Bas) apatah lagi lah cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi pengiat industri.
Sebenarnya kami telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian YB Menteri Pengangkutan, namun malangnya sehingga ke hari ini kami menemui jalan buntu.
Keadaan ini sangat jelas jauh berbeza ketika kami berurusan dengan mantan Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Wee Ka Siong, selain daripada mudah untuk berurusan, beberapa keputusan penyelesaian kepada masalah yang kami hadapi telah dicapai, namun segalanya terhenti kerana perubahan punca kuasa.
Harapan kami keadaan ini tidak dibiarkan berterusan dan sekali gus mencacatkan konsep Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim.
3. Rancangan menganjurkan program bertemu YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim.
4. Cadangan atau permohonan kepada kerajaan agar menubuhkan MAJLIS PENGANGKUTAN DARAT NEGARA - MPDN yang diwakili oleh pengiat industri (Teksi, Lori, Bas, e-Hailing dan p-Hailing) bagi mengimbangi semula segala peraturan sedia ada dan yang bakal diadakan supaya sesuatu peraturan yang ingin diperkenalkan tidak lagi menzalimi pengiat industri.
5. Satu perhimpunan berskala besar mungkin akan diadakan di Kementerian Pengangkutan sekiranya usaha demi usaha yang dilakukan tidak berjaya.
Sesi perjumpaan dan perbincangan ini diadakan adalah hasilkan persefahaman secara kolektif diantara GTSM dan GEM demi perjuangan memartabatkan kembali industri, hak dan kebajikan ahli-ahli kami.
Sekian terima kasih
"BERSAMA MEMBANGUNKAN MALAYSIA MADANI"
"KE ARAH MEMARTABATKAN INDUSTRI TEKSI NEGARA"
KAMARUDIN HUSSAIN
YDP Gabungan Teksi Malaysia
13/09/2023