PERKESO SAMAN PEMANDU TEKSI SEHINGGA RM10,000..?
"Sudah lah kami kehilangan sumber pendapatan, kini PERKESO pula nak saman kami sehingga RM10,000 kerana kegagalan kami mendaftar dan mencarum di PERKESO".
Itulah keluhan yang pihak kami terima daripada beberapa ahli kami yang menzahirkan ketidakpuasan hati kerana mereka diberi notis amaran oleh PERKESO dalam sekatan jalan raya di sekitar Seremban Negeri Sembilan.
Setelah kami meneliti Notis Amaran yang dikeluarkan PERKESO dan Peruntukan Akta sedia ada, kami dari Gabungan Teksi Malaysia - GTSM ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada PERKESO kerana sudi turun padang dan bekerjasama dengan PDRM dalam sekatan jalan raya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang bekerja sendiri khususnya dalam sektor perkhidmatan awam Teksi, EHailing, PHailing, Bas, Lori dan sebagainya yang berkaitan.
Mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, PERKESO sebenarnya telah mempunyai punca kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang kepada orang ramai khususnya ahli-ahli kami yang masih gagal mendaftar dan mencarum di PERKESO.
Namun kami memuji sifat kemanusiaan dan insani yang ditujukkan oleh pihak PERKESO kepada ahli-ahli kami, walaupun mereka boleh mendakwa ahli-ahli di mahkamah tetapi mereka memilih menyantuni dan memberi kesedaran kepada ahli-ahli kami dengan hanya memberi Notis Amaran.
Ambil contoh kesalahan Trafik atau JPJ, sudah pasti ahli-ahli telah dikenakan tindakan undang-undang dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan dengan itu, kami ingin menyeru kepada orang ramai yang berkhidmat dalam sektor pengangkutan/perkhidmatan khususnya pemandu teksi supaya memanfaatkan inisiatif yang telah diberikan oleh kerajaan.
Daftar dan carumlah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di PERKESO dangan hanya RM46.60 untuk tempoh 1 Tahun bermula dari tarikh caruman bagi pelan 2.
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan memberi perlindungan sosial kepada diri kita dan tidak mustahil bakal memberi manfaat kepada waris kita sekiranya berlaku sebarang musibah ke atas diri kita.
Sebagai rakyat Malaysia yang berkhidmat di dalam sektor Pengangkutan/Perkhidmatan kita seharusnya berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberi inisiatif mengurangkan kadar caruman kita sebanyak 80% dan pada tahun hadapan sebanyak 90%.
KAMARUDIN HUSSAIN
YDP Gabungan Teksi Malaysia
08/11/2023